Thursday, November 4, 2010

Buat Teman2 Diingati Selalu.....

Sebermula pada zaman dahulu kala wujudnya sebuah negeri hitam putih yang aman damai di utara negara SMAM yang bernama 3 Ibnu Qudamah.Negeri pujangga itu diperintah seorang ratu yang baik hati bernama Yang Mulia Seri Paduka Al-Ratu Zainab binti Abu Bakar yang amat dihormati oleh sekalian rakyat jelata.Rakyatnya pula baik-baik saja rupanya

       Syahdan,di negeri yang aman itu ramai pula yang tampil berdagang dari seluruh benua Kuala Terengganu.Adapun yang seorang ini,segak benar pesonanya.Itulah gelaran Panglima Laksamana Harimau Kumbang Muhammad Nizamuddin Aifat. Atas pesona yang indah lagi menawan itulah beliau dilantik Seri Paduka Al-Sultan supaya menjadi Perdana Menteri di Villa Ibnu Qudamah. Pemangkunya pula bukan calang-calang manusia. Puteri Tengah Ummu Rasyidah menjadi pilihan.Datang pula seorang wanita hebat sebagai penghulu bendahari Villa Ibnu Qudamah, Ceti Paduka Nur Sofliani yang ramah sekali tak kira bersama rakan hatta musuh. Kalakia ,diperintahkan oleh Yang Dipertuan Agong negara agar diadakan pengawal negeri,maka serulah Seri Paduka Sultan akan Muhd Syamil sebagai pengawal negeri dan negara. Dituruti pula tiga dara yang sedia mencurah peluh mengawal negeri agar rakyatnya aman dan sejahtera. Pari-pari Barbeqeces Rawiah Nusrah,yang hampir bergelar permaisuri , Permaisuri Pengawal Istana Ummu Habibah, juga ahli Istana Aspuri Siti Sarah.Maka lengkaplah pentadbiran Villa Ibnu Qudamah. 

Thursday, October 28, 2010

Pengorbanan Seorang Sahabat

HARI ini aku mendengar rancangan Riuh Pagi ERA (RPE) di saluran Radio ERA. Mendengar satu cerita yang diceritakan oleh sorang pemanggil melalui telefon ke studio. Lazimnya aku tidak begitu sangat beri perhatian kepada rancangan RPE itu kerana rancangan itu hanya diisi dengan hal-hal yang kurang menarik. Tetapi hari ini bagai ada sesuatu yang menarik perhatianku apabila pemanggil itu membuat panggilannya dan bercerita tentang suatu perkara. Bagi aku perkara yang diceritakan itu amat menarik meskipun mungkin ramai yang akan mengatakan sebaliknya.


Pemanggil tadi (namanya Rizal) bercerita tentang pengalamannya sewaktu berusia 17 tahun (tidak pula diberitahu usianya sekarang, tetapi aku mengagak usianya sekitar 30-an pada masa ini) sewaktu hampir menduduki SPM. Biasalah, zaman persekolahan semua orang berpengalaman melalui detik-detik manis 'bercinta monyet'. Rizal itupun tidak terkecuali. Dia berkawan rapat dengan seorang pelajar perempuan sebayanya tetapi dari sekolah yang berlainan.


Tiap-tiap hari selepas waktu sekolah mereka akan berjumpa di suatu tempat sebelum pulang ke rumah. Hari demi hari persahabatan mereka menjadi putik-putik cinta. Rizal dan pelajar perempuan itu seperti sudah tidak dapat dipisahkan lagi. Rakan-rakan sekolah mereka tahu hubungan mereka berdua. Suatu hari, seperti biasa selepas waktu sekolah Rizal sampai di tempat pertemuan mereka. Tetapi hari itu kekasihnya tidak muncul. Rizal resah menanti, namun kekasihnya tetap tidak kunjung tiba. Beberapa hari selepas itupun, Rizal masih menanti, tetapi hampa. Perasaannya mula bimbang. Dia bertanya kepada rakan-rakan kekasihnya dan daripada mereka dia dapat tahu kekasihnya itu sakit dan sudah pulang ke kampungnya di Sabah. Kekasihnya itu tinggal bersama emak saudaranya di Kuala Lumpur semasa belajar di sekolah berkenaan.

Atas dasar cinta, Rizal terus pulang dan memecahkan tabung wang simpanannya. Berbekalkan wang tersebut dan maklumat tentang kampung kekasihnya itu, Rizal berlepas ke Sabah dari Lapangan Terbang Subang bersendirian. Setibanya dia di kampung kekasihnya itu baharulah Rizal dapat cerita sebenarnya bahawa kekasihnya itu sedang bergelut dengan hidup akibat menghidap sakit buah pinggang yang sudah sampai ke tahap kronik.


"Pada waktu itu juga saya mengambil keputusan untuk berkorban demi seorang sahabat", suara Rizal yang aku dengar melalui corong radio agak sebak bunyinya.


Kata Rizal dia segera menawarkan diri untuk menyumbang buah pinggangnya. Setelah diperiksa oleh pasukan doktor mereka mendapati buah pinggangnya sesuai untuk didermakan dan jenis darahnya juga sama dengan jenis darah kekasihnya yang sedang bergelut dengan hidup itu! Terus sahaja Rizal memberi tahu emak dan ayahnya di Kuala Lumpur untuk mendapatkan restu dan keizinan mereka. Kedua orang tuanya berlepas segera ke Sabah dan bertemu Rizal serta keluarga kekasihnya di sana.


"Awak dermakan buah pinggang awak, Rizal?", tanya DJ bertugas.


"Ya, saya dermakan buah pinggang saya demi kerana simpati saya terhadap seorang sahabat", balas Rizal, masih kedengaran sebak. "Tetapi usia kekasih saya itu tidak lama. Setahun kemudian, dia dijemput Allah pulang ke pangkuan-Nya". Suara Rizal tersekat di situ.


Aku menganggap kisah ini adalah kisah tentang pengorbanan yang amat luar biasa. Pengorbanan seorang sahabat terhadap sahabatnya yang menderita. Mungkin pada masa itu Rizal mempunyai perasaan cinta terhadap sahabatnya itu, tetapi bagi aku, Rizal sebenarnya adalah seorang sahabat atau kekasih yang berhati mulia. Dia jujur dalam persahabatan (percintaan) kerana itu dia rela berkorban meskipun dia belum pasti sahabatnya itu akan menjadi teman hayatnya.


Mari kita bertanya dan menjawab secara jujur:


i) Berapa ramaikah sahabat yang mempunyai kemuliaan seperti Rizal?
ii) Berapa ramai pula sahabat yang dengan mudah melupakan sahabatnya ketika sahabatnya itu mengalami kesusahan?
iii) Berapa ramaikah sahabat yang tidak mahu meneruskan persahabatan hanya kerana mendengar cerita-cerita fitnah dari orang lain?
iv) Berapa ramaikah sahabat yang bersahabat hanya kerana material serta kedudukan sahabatnya itu sahaja?
v) Berapa ramaikah sahabat yang sanggup memaafkan kesilapan sahabatnya yang berlaku tanpa sengaja?


Marilah sama-sama kita memberi nilai kepada makna persahabatan yang kita jalin dengan sahabat-sahabat kita selama ini. Semoga akan wujudlah kebahagiaan di dalam hati kita bersama.